Selamat sore nyawa sendiri
masih berjaga kah saat ini
atau senyap mati enggan lagi
mahu berdiri?
matahari sudah lama bernyanyi
bayang-bayang bergolek
sebentar ke kanan sebentar ke kiri
kau masih lemah tersisip
pada alas yang di bentang
atas dasar-dasar semalam.
bangunlah diri
cukup lama aku menanti
aku enggan lagi
mahu berjumpa engkau hanya dalam mimpi
mimpi yang telah lama basi
tapi kau tak punya sedar
untuk kau fahami.
sore sudah menjelang
akal sudah cukup panjang
dulu itu kadang-kadang memang jalang
hari ini semahunya dia halang
aku faham kau diri
memang sukar untuk bangun dari ulit mimpi
lagi-lagi mimpi yang cukup indah
persis lagu syurga dipermain
di balik telinga.
tapi tak semua permainan dunia
berasas pada fantasi
tak semua boleh kau lari dari realiti
cukup datang mentari
harus bangun juga kau diri.
jadi apa kata aku ucap lagi
selamat sore pada kau diri
bila tamat ucapan aku nanti
bangun saja dan terus berlari.
Sunday, June 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment